Hari ini, lebih kurang pukul 11.00 am, semasa di dalam kelas, saya telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya wakil syarikat kad Touch n Go. Lelaki ini menawarkan promosi baru kad Touch n Go yang kononnya jauh lebih menarik berbanding kad lama dimana saya akan mendapat diskaun sekiranya menggunakan kad ini di shopping complex, pusat kecantikan dan semasa perlancongan. Pada mulanya saya yakin bahawa panggilan ini benar disebabkan usia kad Touch n Go saya agak lama(lebih kurang 3 - 4 tahun). Mungkin mereka mahu pengguna menukar kad lama kepada kad baru melalui promosi ini. Setelah menjelaskan segala kelebihan kad tersebut kepada saya, lelaki itu meminta saya membuat pengesahan tarikh tamat tempoh kad debit ATM MAYBANK saya. Menurut lelaki itu, kad Touch n Go baru ini hanya sah digunakan bersama kad atm maybank sahaja.
Bagi mengelakkan perbualan berpanjangan kerana pensyarah sudah memulakan kuliah beliau, saya mencapai beg untuk mengambil kad debit atm maybank saya bagi melihat tarikh tamat kad seperti yang diminta lelaki tersebut. Nasib saya sangat baik apabila saya mendapati bahawa saya tidak membawa beg duit ke kelas hari ini. Setelah dimaklumkan kepada lelaki tersebut bahawa kad saya tertinggal di rumah, beliau meminta untuk saya menunggu panggilan beliau pada pukul 2.00pm pula untuk mendapatkan tarikh berkenaan.
2.00pm, seperti yang dijanjikan, lelaki tersebut sekali lagi menelefon saya. Kali ini, saya rasa sedikit musykil. Terdetik dihati saya apa kaitannya kad Touch n Go dengan akaun Maybank. Dulu time buat kad Touch n Go pun tak memerlukan sebarang maklumat tentang akaun Maybank. Terus saya matikan perbualan dengan lelaki itu sambil membelek kad atm Maybank saya. Tertera nombor telefon Maybank careline dibelakang kad tersebut. Pada waktu itu, saya rasa perlu untuk mendapatkan kepastian tentang promosi tersebut. Risau sekiranya promosi itu benar, problem pada kad Touch n Go saya pulak lepas ni. Terus saya membuat keputusan untuk menghubungi Maybank careline.
Alhamdulillah, setelah berborak dengan pihak Maybank careline, saya telah dimaklumkan bahawa promosi itu adalah satu penipuan untuk menyedut kesemua duit di dalam akaun Maybank kita. Menurut pihak Maybank, dengan memberi mereka tarikh tamat tempoh kad atm debit, saya seterusnya akan diperdaya untuk memberi beberapa nombor belakang pada kad atm saya pula kononnya sebagai pasword keselamatan saya. Setelah itu, berjaya lah mereka menyedut kesemua duit dari akaun saya!
*Lelaki tersebut cuba menghubungi saya 4kali selepas itu. Sorry la saya nak jawab kan. Mau licin elaun saya kalo tperdaya.
*Syukur sangat-sangat hari ini. Ada hikmah tertinggal beg duit.